Ingatlah firman Allah yang
berbunyi:
“Dia telah memilih kamu dan Dia
tidak sekali-kali menjadikan untuk kamu dalam agama satu kesempitan. (Ikutilah)
agama orang tuamu Ibrahim. Dia telah menamakan kamu sekalian orang-orang
Muslimin dahulu dan (begitu pula) dalam Al-Quran ini, supaya Rasul itu menjadi
saksi atas kamu dan supaya kamu menjadi saksi atas segenap manusia, maka
dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu kepada (tali) Allah,
Dia adalah pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik
penolong.”
(Surah Al-Hajj: ayat 78)
Saya Mestilah Muslim di Sudut
Aqidah:
Aqidah yang benar dan sah adalah
menjadi syarat pertama kepada pengakuan seseorang yang telah menerima Islam
sebagai agama yang mengatur hidupnya. Aqidah tersebut mestilah sejajar dengan
apa yang telah termaktub dalam kitab Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Saya
mestilah beriman dan mempercayai perkara yang telah diimani dan dipercayai oleh
para salafussoleh dan para imam yang telah terbukti kebajikan, kebaikan,
ketaqwaan dan kefahaman mereka yang tepat dan benar terhadap Islam.
Untuk menjadikan aqidah saya
benar-benar diiktiraf sebagai aqidah seorang Muslim saya mestilah:
1. Mengimani
dan meyakini bahawa pencipta alam sejagat ini ialah Allah yang Maha Bijaksana,
Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain. Kesemua ini dapat
dibuktikan melalui keindahan, kerapian dan keselarasan alam ciptaan Allah, yang
mana setiap unit alam ciptaan Allah ini memerlukan unit yang lain untuk menjamin
kewujudan dan kestabilannya. Satu unit daripada kejadian alam ini tidak mungkin
wujud dalam keadaan yang stabil tanpa kewujudan unit yang lain.
Kewujudan alam yang seindah dan
sekemas ini tidak akan terjamin keselamatan dan kesejahteraannya tanpa tadbir
dari Allah yang Maha Berkuasa. Dalam hubungan ini Allah telah berfirman:
“Sekiranya ada di langit dan di bumi
tuhan-tuhan selain daripada Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa,
maka Maha Suci Allah yang mempunyai arasy daripada apa yang mereka sifatkan.”
(Surah Al-Anbiyaa’: ayat 22)
2.Saya mestilah mengimani dan
meyakini bahawa Allah tidak menciptakan alam ini tanpa tujuan atau untuk
bermain-main sahaja, kerana perbuatan sia-sia dan main-main yang tidak
mempunyai tujuan itu tidak layak bagi Allah yang bersifat dengan
sifat-sifat kesempurnaan.
Matlamat dan tujuan Allah
menciptakan alam ini sukar difahami secara terperinci kecuali melalui seseorang
rasul yang diutuskan Allah atau melalui wahyu Allah. Dalam hubungan ini Allah
berfirman:
“Maka apakah kamu mengira bahawa
sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu
tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya
tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia.”
(Surah Al-Mukminun: ayat 115-116)
3.Saya mestilah mengimani dan
meyakini bahawa Allah telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab Allah
untuk mengajar manusia mengenal Allah dan memberitahu mereka tentang matlamat
kewujudan mereka di dunia ini dan ke mana akhirnya penghidupan mereka. Saya
mestilah beriman bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah rasul yang terakhir dari
para rasul yang diutuskan Allah. Beliau telah dibantu dan diperkuatkan Allah
dengan Al-Quran sebagai mukjizat yang kekal abadi. Dalam hubungan ini Allah
berfirman:
“Dan sesungguhnya Kami telah
mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan)
‘Sembahlah Allah (sahaja) dan
jauhilah thaghut itu’. Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi
petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti
kesesatan baginya.” (Surah An-Nahl: ayat 36)
No comments:
Post a Comment