Dalam sesi muzakarah kali ini, saya hendak menarik perhatian tentang 5
perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk
memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini.
Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima
perkara ini iaitu:
1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada
menyebut makhluk. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau
memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita
terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada
kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk
yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak
Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita
dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila
sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak
menyelera hingga ke hati.
2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada
menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat.
1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa
kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100
daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya
1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan
Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling
cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia
(SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA)
yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda.
Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul
keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat
hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan
hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati.
Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan
menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan
yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan
itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun
akhirat.
Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di
akhirat? Dalam hubungan ini eloklah
sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali
masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke
akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan
bergelumang dengan dosa?
4. Jangan
menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh
atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau
menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri
sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita
sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita
terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah
menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam
sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika
menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa
yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu
unsur dari syirik (khafi).
Oleh itu eloklah kita
berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita
kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada
diri kita itu sebenarnya datang dari
Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur
kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada
mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan
itu.
5. Jangan sebut-sebut dan
nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan hati
ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut
kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang
sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata
orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak
kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu
kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang
lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak
betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu
tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang
buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri
kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain.
Jangan menjaga
tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada
digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu
lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak
kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan
kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari
bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan
kita ke dalam api neraka.
Demikian tazkirah minggu ini. Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas
dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama
beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke
akhirat. Amin...
No comments:
Post a Comment