Wednesday, 25 December 2013

ANTARA 'BASYIR' (BERITA GEMBIRA) DAN 'NAZIR' (BERITA AMARAN)




        Setiap Rasul diutuskan sebagai pembawa berita gembira (basyir) dan pemberi
        peringatan (nazir) kepada manusia. Menyampaikan berita gembira kepada mereka
        yang taat melakukan ibadat dan memberi peringatan dan amaran kepada mereka
        yang melanggar perintah Allah. Ini jelas diterangkan oleh Allah dalam Al-Quran Surah
        Fathir: 24. 

        Sebagai perutusan Allah, para Rasul mempunyai kebijaksaan dalam berdakwah bagi
        menangani kerenah masyarakat pada zaman itu. Mereka bijak menggunakan sama
        ada pendekatan 'basyir' atau 'nazir' terhadap orang yang mereka seru.  

        Kepada mereka yang terlalu 'khauf' dan kuat melakukan ibadat kerana takut kepada
        azab Allah, para Rasul memberikan berita gembira tentang syurga dan
        keseronokannya. Dengan cara ini, mereka berasa tenang, gembira dan tidak terlalu
        khauf tentang azab Allah. Para rasul adalah pakar motivasi dan kaunselor yang
        memberikan ketenangan jiwa kepada umatnya. 

        Sebaliknya kepada mereka yang ingkar dan kufur kepada Allah, para Rasul memilih
        pendekatan 'nazir' iaitu menyampaikan berita seksa dan pembalasan azab yang
        amat sangat di neraka. Dengan cara ini, mereka akan mengetahui kesalahan yang
        mereka lakukan dan betapa pedihnya azab Allah jika amalan itu diteruskan.
        Akibatnya mereka akan bertaubat dan mula mentaati Allah. 

        Sungguhpun begitu adakalanya Rasul menggunakan kombinasi 'basyir' dan 'nazir'
        bergantung kepada keadaan orang yang didakwah. 

        Demikianlah contoh teladan yang ditunjukkan oleh para rasul ketika berdakwah.
        Mereka yang terlalu 'khauf' digembirakan dengan berita syurga dan yang terlalu
        'rajak' diancam dengan berita neraka. Begitu juga tentang hukuman bagi pesalah
        dirujuk pada Al-Quran tanpa memilih kasih. Masyarakat sekarang dilanda pelbagai
        penyakit sosial. Mereka perlu diberi rawatan dengan resepi perubatan yang mujarrab
        sesuai dengan penyakit yang diidap. Kenapa penyakit masyarakat semakin menjadi
        walaupun pelbagai pendidikan dan program 'Rakan Muda' diperkenalkan. Jawapannya
        adalah kerana penyakit lain ubat yang diberi pula lain. Tegasnya, lain sakit lain pula
        ubatnya. Untuk mengubati penyakit, kita perlu mengetahui puncanya. Punca penyakit
        masyarakat masa kini ialah hilangnya perasaan khauf dan meluasnya perasaan rajak
        di dalam jiwa.   

        Berdasarkan huraian di atas, penyampaian bagaimanakah agaknya yang sesuai
        untuk golongan tersebut? Jawapan anda tepat iaitu dengan memberikan ancaman
        dan amaran tentang balasan dan azab yang bakal diterima di neraka. Pendekatan
        'bashir' tidak sesuai bagi mereka.  

        Dalam Islam tiada kompromi tentang hukuman dan hudud. Hukum-hakam dalam
        Islam tidak berubah walaupun masa telah berubah. Hukuman berzina, mencuri
        misalnya tetap sama seperti hukuman yang dikenakan semasa zaman Nabi. Agama
        Islam telah lengkap dan tak perlu diubahsuai atau ditokok tambah. Demikian
        besarnya peranan yang perlu dimainkan untuk mengatasi masalah sosial yang
        semakin meruncing dewasa ini. Sekiranya pelaksanaan hukum dan hudud
        diperkenalkan selama ini, sudah tentu masalah sosial seperti yang berlaku sekarang
        ini tidak akan berlaku. 

No comments:

Post a Comment