Wednesday, 25 December 2013

ANTARA RAJAK (HARAPAN) DAN KHAUF (KEBIMBANGAN)



        Konsep Rajak dikaitkan dengan harapan manusia akan kurniaan Allah sama ada di
        dunia mahupun akhirat. Sangkaan baik bahawa Allah akan memasukkan mereka ke
        dalam syurga kerana Allah bersifat dengan Maha Pengasih dan Maha Pengampun. 

        Konsep Khauf pula dikaitkan dengan perasaan takut dan bimbang akan azab Allah
        dan malapetaka yang diturunkan sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. 

        Manusia tidak dapat dipisahkan dari 2 keadaan ini sama ada rajak atau khauf. Ada
        yang terlalu berharap (sangka baik) terhadap kurnia Allah sehingga mereka lupa
        untuk beribadat kepada Allah. Mereka lalai dan relaks dari tanggungjawab sebagai
        hamba Allah namun masih menaruh harapan tinggi Allah akan mengampunkannya.
        Mereka lupa bahawa azab Allah amat pedih. 

        Satu golongan lagi terlalu takut terhadap azab Allah sehingga sebahagian besar
        masanya beribadat tanpa ada ruang untuk hal-hal selain dari urusan akhirat. Mereka
        lupa untuk menguruskan keduniaan mereka. 

        Kedua-dua golongan ini extreme sama ada ke arah keduniaan dan keakhiratan
        mutlak. Golongan pertama condong ke arah dunia dan lupakan akhirat sementara
        kedua condong ke akhirat dan lupakan dunia.  

        Dalam memperkatakan kedua-dua keadaan ini, kedudukan kita hendaklah antara
        khauf dan rajak; tidak terlalu khauf dan tidak terlalu rajak. Adalah lebih selamat
        dalam menjalani hidup di dunia ini, kita lebihkan perasaan khauf - takut kepada
        Allah. Dengan ada perasaan ini kita sentiasa takut melakukan maksiat dan rajin
        membuat ibadat. Hidup kita akan lebih selamat. Meskipun begitu jangan terlalu takut
        sehingga terabai tanggungjawab di dunia. 

        Bila masanya kita perlukan perasaan rajak (harapan)? Jika khauf semasa menjalani
        hidup dunia, rajak pula kita gunakan semasa di ambang kematian. Di saat-saat
        menghadapi mati, kita hendaklah penuhkan dengan harapan 100% supaya Allah
        mengampuni kita. Kita menyangka baik Allah akan memasukkan kita ke dalam
        syurga. Ketika inilah kita yakinkan kepada diri kita Allah Maha Pengampun, Maha
        Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Lemahlembut. Allah menurut apa yang kita
        sangkakan. Jika kita sangka baik terhadap Allah, Allah akan mengikut menurut
        sangkaan kita. 

        Menyorot kehidupan sekarang, seolah-olah manusia sudah hilang perasaan khauf.
        Kebanyakannya lalai dan leka dari menunaikan tanggungjawab. Namun pada masa
        yang sama mengharapkan keampunan Allah. Harapan begini hanya angan-angan
        kosong tak ubah seperti angan-angan Mat Jenin.  

        Oleh itu sama-samalah nasihat-menasihati antara satu sama lain supaya kita tidak
        terdorong kepada perilaku yang terlalu rajak. Sebaliknya tanamkan perasaan khauf
        dalam diri kita supaya di akhir nafas kita nanti Allah permudahkan untuk kita
        menaruh perasaan rajak. Semoga kita semua akan selamat di satu alam yang kekal
        dan abadi di dalam syurga yang penuh kemanisan dan kenikmatan.   
         

No comments:

Post a Comment