1.TAKRIF AJARAN SESAT
2.SEJARAH RINGKAS
3.PERISTIWA-PERISTIWA AJARAN SESAT
4.SUMBER AJARAN SESAT
5.MANGSA AJARAN SESAT
6.SENARAI AJARAN SESAT DI MALAYSIA
1. Takrif Ajaran Sesat.
Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau
amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang
mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan
kepada ajaran Islam sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu
bertentangan dengan Islam berdasarkan Al-Quran dan al-Sunnah serta bertentangan
dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
2. Sejarah Ringkas.
Ajaran sesat yang paling lama usianya
di Malaysia ialah ajaran Taslim yang dibawa oleh Mohamad bin Shafie @ Mohammad
Matahari pada akhir abad ke 19 di Kg.
Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang.Ia berkembang ke negeri lain seperti
Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Johor. Di Kelantan wujud ajaran Subud yang
disebarkan pada tahun 1950an dan ajaran Martabat Tujuh pada tahun 1960-an.
3. Peristiwa-peristiwa Ajaran Sesat.
a. Pada
19 Ogos 1979, seramai 4 orang pengikut Ajaran Ilmu Kashaf pimpinan Hj.
Kamarudin @ Abdullah Sani Kajang, Selangor mati terbunuh dalam satu peristiwa
di Kerling, Selangor.
b. Pada
19 Oktober 1974 seorang dari kumpulan ajaran sesat Empat Sahabat pimpinan Syed
Mutalib di Kg. Kedap, Rantau Panjang,
Kelantan mati ditembak dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.
c. Pada
16 Oktober 1980, 8 orang dari kumpulan ajaran sesat pimpinan Ahmad Nasir Ismail
(Kemboja) yang mengaku Imam Mahadi telah terbunuh apabila mereka menyerang
Balai Polis Batu Pahat, Johor.
d. Pada
7 Julai 1979, Tajul Ariffin yang mengaku dirinya Imam Mahdi telah mencederakan
Tuan Haji Damanhuri Hj. Abdul Wahab,
imam masjid Rapat Setia, Ipoh, Perak.
4. Sumber Ajaran Sesat
1.BATINIAH
2.TASAWUF TEOSOFI
3.AMALAN KHURAFAT
1. BATINIAH
Ajaran ini dibawa melalui buku Kashf
Al-Asrar terjemahan dan susunan Syeikh Mohamad Salleh bin Abdullah
Al-Mangkabowi yang ditulis pada tahun (1344H / 1922M).
Ia kemudiannya disalurkan melalui buku
Hidayah Al-Anwar oleh Syed Ghazali Jamalullail, Pulau Pinang pada tahun (1355H
/ 1933M) yang mengembangkan ajaran Taslim dari bapanya Hj. Mohamad Matahari.
Kemudian Hj. Ahmad Laksamana bin Omar (Kelantan)
menulis buku Hakikat Insan (1985) dan Ilmu Tajalli yang berkembang ke seluruh
Malaysia.
Ajaran Batiniah terpengaruh dengan
teori angka simbolik seperti angka 7 dan 12 yang diambil dari 7 huruf Bismillah
dan 12 huruf Lailaha Illallah yang semuanya berjumlah 19. Teori inilah yang
mempengaruhi falsafah Ismailiyah Batiniah.
Ajaran Batiniah mempengaruhi aliran
Tasawuf Teosofi dalam 3 unsur :
Fahaman Hulul iaitu menempatnya Tuhan
dalam diri hamba seperti yang dibawa oleh Al-Hallaj. Fahaman Takwil Batin iaitu tiap-tiap yang
zahir ada batin dan tiap-tiap ayat al-Quran ada takwil iaitu Takwil Batin.
Fahaman guru batin iaitu memperolehi
ilmu melalui guru batin yang telah meninggal dunia.
Antara ajaran sesat yang mengandungi
unsur Batiniah ialah ajaran Taslim. Ciri-ciri kesesatannya ialah:
a. Memisahkan pengikutnya daripada
masyarakat.
b. Berkahwin sesama sendiri, mempunyai
masjid, kubur dan tempat belajar sendiri.
2. TASAWUF TEOSOFI @ WUJUDIAH @
MARTABAT TUJUH.
Tasawuf Teosofi dipengaruhi oleh
fahaman Greek, Parsi, Yahudi, Kristian dan Hindu-Budha.
Tasawuf ini mengandungi berbagai konsep
yang bermula dengan wahdatul wujud dan kemudiannya diserap kepada ajaran
martabat tujuh dari karangan Syeikh Mohamad b Fadhlullah Al-Burhanpuri, (w 1029
H/1619M ) melalui bukunya al-Tohfah al-Mursalah Ila Roh Al-Nabi, yang
diterjemah ke bahasa Jawa tahun (1680M).
Tasawuf ini kemudian diserap oleh
beberapa tokoh Nusantara seperti :
a. Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani (w
1690M) yang mengarang buku Jauhar al-Haqaeq.
b. Abdul Rauf Singkel yang mengarang
buku Daqaiq al-Huruf (1661M).
c. Syeikh Hamzah Fansuri (w 1606M)
dalam buku-bukunya di bidang tasawuf ketuhanan terutama buku Asrar al-Ariffin,
Syarb al-’Asyikin dan al-Muntahi.
d. Berkembang pula melalui kitab
al-Durr al-Nafis oleh Syeikh Mohamad Nafis al-Banjari (w 1778M) yang ditulis
tahun (1200H).
Pada asasnya Tasawuf ini telah banyak
mempengaruhi guru-guru ajaran sesat, ditambah pula oleh buku Kasyf Al-Asrar
oleh Syeikh Mohamad Salleh b. Abdullah al-Mangkabowi yang ditulis tahun 1922M.
Tasawuf wahdatul wujud pula adalah
bersumber daripada Hindu dan Neoplatonisma.
Sementara ajaran Martabat Tujuh adalah
bersumberkan falsafah Neo Platonisma yang dikenali dengan teori emanasi atau
as-Sudur iaitu Tuhan menzahirkan dirinya secara berperingkat-peringkat dalam
bentuk makhluk yang nyata ini dalam 7 peringkat :
Pertama: Ahadah @ Ahadiyah iaitu
martabat zat qadim, azali, abadi, martabat La Taayun ertinya martabat tuhan
belum nyata.
Kedua: Wahdah, Martabat Allah Wahdah
Qadim, azali, abadi, roh Qudsi yakni nyawa Muhammad atau Taayun Awal.
Ketiga: Wahidiyah, Martabat Taayun
Thani, nyata yang kedua iaitu Roh Adam dan Aayan Thabitah namanya iaitu
kenyataannya telah ada bagi Allah.
Keempat: Alam Arwah iaitu alam segala nyawa dan alam segala roh Aayan
Kharijah ertinya kenyataan yang sudah terbit daripada ilmuNya. Kelima: Alam Mithal ialah kalbu sanubari
bererti tempat hati. Inilah alam segala rupa namanya iaitu daripada kehendak
Allah Taala.
Keenam: Alam Ajsam ialah alam syahadah,
alam yang boleh dipandang, daripada anasir yang empat; air, tanah, udara dan
api.
Ketujuh: Alam Insan yang disebut: Insan
itu rahsiaKu dan Aku rahsianya.
Antara contoh ajaran tasawuf Teosofi
ialah Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana.
Ciri Utama Ajaran Tasawuf Teosofi.
1.Guru mursyid boleh menghubungkan
murid dengan Allah Taala.
2.Taasub membuta tuli kepada guru. 3.Guru mursyid telah mencapai Insan Kamil
iaitu mereka telah melalui taraqqi roh tujuh peringkat iaitu nafsu Ammarah,
Lawwamah, Mulhamah, Mutmainnah, Radiah, Mardiah dan Kamaliah.
3. AMALAN KHURAFAT.
Amalan Khurafat berpunca dari tiga
unsur iaitu Sinkritisma, Hindu-Budhha, Animisma dan Dinamisma. Ia menjelma
dalam amalan perbomohan secara batin dan silat kesaktian.
5. Mangsa Ajaran Sesat.
Golongan yang menjadi mangsa ajaran
sesat ialah :
a) Mereka yang jahil dan kosong jiwa
kerana tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup, dan mendapat dorongan
kawan-kawan supaya berguru atau belajar melalui orang tertentu yang mengajar
secara rahsia dan sulit.
b) Mereka yang ghairah mencari
ketenangan jiwa dan kesempurnaan beragama terutama melalui unsur kerohanian
dengan cara jalan dekat tanpa mengikut sunnah.
c) Golongan yang salah atau menyeleweng
dalam hal yang berhubung dengan usul; hal ini terjadi kerana mereka kurang
mantap dalam usul syari’yyah dan lemah dalam hal-hal al-Sadik dan ikhlas.
Mereka mendakwa diri hampir dengan Allah dan berada di maqam tertinggi.
d) Mudah dieksploitasi kerana kejahilan
dan kedahagaan kepada kesempurnaan kerohanian, lalu digunakan untuk mendapat
kekayaan, pangkat, kuasa dan seks bebas.
e) Berpegang kepada konsep kebebasan
intelektualisma.
f) Mengagungkan rasionalisma dan
pendekatan apa yang dikatakan secara saintifik dan empirikal dalam soal agama.
g) Membawa fahaman modenisasi dalam
Islam yang bertentangan dengan akidah dan fahaman yang diiktiraf dan diterima
oleh masyarakat negara ini.
Disediakan oleh
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Jabatan Perdana Menteri
No comments:
Post a Comment