1.
UNTUK BADAN
|
Menjaga
Kesihatan Setiap ahli usrah hendaklah
melakukan pemeriksaan umum kesihatan dari semasa ke semasa. Jika kita
berpenyakit, segeralah berubat. Selain itu, ambil berat tentang punca-punca
kekuatan badan dan pemeliharaan kekuatan itu dari segi kesihatan. Jauhkan
diri kita daripada perkara-perkara yang boleh melemahkan kesihatan badan.
Menjaga
Kebersihan Jagalah kebersihan dalam semua
hal: dalam rumah tangga, pakaian, makan minum, tubuh badan, dan tempat
bekerja. Agama Islam itu diasaskan di atas dasar "kebersihan".
Minuman dan
Rokok Janganlah minum kopi, teh dan
minuman penyegar lain secara berlebih-lebihan. Seboleh-bolehnya jangan sama
sekali menghisap rokok.
(Ulasan penyunting: Saya yakin merokok amat berbahaya kepada tubuh badan dan kesihatan kita. Alhamdulillah, saya berhenti merokok sejak tujuh tahun yang lalu setelah "berhenti-henti" selama seminggu, sebulan dan enam bulan. Namun demikian, saya berhenti merokok bukanlah atas sebab-sebab kesihatan. Saya berhenti merokok atas sebab-sebab agama [setelah membaca tiga buah buku yang berkaitan dengan keharamannya] dan sebab-sebab sosial. Nyatakan pendapat anda di forum GU. Diharap ada respons.)
Riadah Amalkan apa-apa riadah badan walaupun sekadar
berjalan-jalan kaki sahaja. Jadilah ahli mana-mana pasukan pengembara
jika umur anda munasabah dengannya.
Minuman Keras Hindari diri daripada arak, sebarang minuman yang
memabukkan, dan minuman yang boleh melemahkan kesihatan badan atau apa-apa
jua minuman yang berbahaya.
2.
UNTUK AKAL
Amalan Membaca Pastikan diri kita mampu membaca dan menulis dengan
baik. Hendaklah kita sentiasa membaca bahan bacaan Islam, akhbar* dan majalah
bermutu. Jika anda golongan iktisas dalam sesuatu bidang pengetahuan,
usahakan sebuah perpustakaan khas peribadi, walaupun kecil, agar saudara
berpeluang mendalamkan ilmu pengetahuan. Timbalah pengalaman dalam urusan
agama Islam sekira-kira membolehkan anda menggambarkan hakikat dan menimbang
sama ada cocok atau tidak satu-satu perkara itu dengan tujuan dakwah kita. *Antaranya sudah pasti Harakah.
Mendalami
Pengetahuan Islam Hendaklah
saudara dapat membaca Al-Qur'an dengan betul; dan juga hendaklah saudara
dapat mendengar serta memikirkan ertinya. Juga saudara dikehendaki
mempelajari sirah atau perjalanan Rasulullah s.a.w. dan sejarah angkatan
salafus soleh atau yang sangat mustahak tentang asas-asas akidah, asas-asas
bagaimana hukum-hukum itu bercabang, dan juga rahsia-rahsia syariat Allah
s.w.t.
3.
UNTUK BUDI PEKERTI
Berketerampilan Hendaklah saudara sentiasa dalam keadaan segar mekar
dan cergas, berperasaan halus, mudah berkesan sama ada terhadap sesuatu yang
baik mahupun terhadap sesuatu yang baru; sama ada terhadap
perkataan-perkataan mahupun terhadap perbuatan.
Berkata Benar Hendaklah saudara sentiasa bercakap benar dan jangan
sekali-kali berdusta; hendaklah saudara kuat kemahuan dan janganlah
teragak-agak dalam sesuatu perkara, yang benar dan hendaklah saudara sanggup
menyimpan rahsia; berani mengaku kesilapan sendiri, sanggup menyedari dan
mengawasi diri sendiri ketika marah.
Berani Hendaklah saudara bersikap berani; sanggup memikul
bebanan; dan semulia-mulia keberanian itu ialah berani berterus terang dengan
perkara yang benar dan hendaklah saudara menyimpan rahsia; berani mengaku
kesilapan sendiri, sanggup menyedari dan mengawal diri sendiri ketika marah.
Serius Hendaklah saudara bersikap gagah dengan cara sentiasa
bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kegagahan sikap seperti itu
tidaklah pula sampai menghalang saudara daripada bergurau dengan yang benar
dan ketawa dengan senyum dan dengan tidak mengada-ngada.
Hindari
Kejahatan Hendaklah saudara menjauhkan diri
daripada rakan-rakan yang jahat dan daripada kawan-kawan yang rosak seperti
mana saudara juga hendaklah menjauhkan diri daripada tempat maksiat dan dosa.
4.
UNTUK SAKU
Bekerja Walaupun Sudah Kaya Hendaklah saudara membuat apa jua kerja yang halal
yang boleh mendatangkan rezeki sekalipun kalau saudara sudah kara-raya; dan
juga hendaklah saudara memilih kerja yang bersungguh-sungguh dan mencubanya
sedaya upaya walaupun kerja itu sukar; bahkan hendaklah saudara bertekun
sehingga berjaya dalam satu-satu kerja.
Teruskan Kerja Janganlah saudara terlalu sibuk mencari kerja di
pejabat-pejabat kerajaan, tetapi janganlah pula menolaknya jika ada peluang.
Janganlah lepaskan kerja yang ada kecuali kerja itu benar-benar berlawanan
dengan tugas-tugas gerakan dakwah kita.
Jujur Hendaklah saudara sentiasa berjaga-jaga supaya dapat
menunaikan tugas saudara dengan cukup amanah tentang kelicinan dan ketertiban
pekerjaan itu; jangan sekali-kali menipu; bahkan hendaklah saudara menunaikan
kewajipan itu dengan tepat pada waktunya dan tepat pada masa janjinya.
Jangan Berjudi Hendaklah saudara menjauhkan diri daripada permainan
judi walaupun apa jua coraknya, dan walau apa pun jua tujuan yang ada di
sebaliknya. Hendaklah juga saudara menjauhkan diri daripada cara-cara
penghasilan haram walaupun di sebaliknya itu terdapat keuntungan yang segera.
Hindari Riba Jauhilah diri kita daripada riba dalam semua muamalah
jual beli--bersihkan diri anda daripada sebarang bentuk riba.
Menyimpan dan
Berjimat Hendaklah saudara menyimpan
sebahagian daripada wang saudara untuk masa kecemasan walaupun simpanan itu
sedikit sahaja, dan janganlah sekali-kali saudara terjerumus ke dalam
perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak mustahak.
Hindari Maksiat Hendaklah saudara memerangi tempat-tempat permainan
kotor; jangan menghampirinya, dan hendaklah saudara menjauhkan diri daripada
cara hidup bermewah-mewah, berlebih-lebihan dan membazir.
Berhemat Hendaklah saudara menggunakan harta umum umat Islam
itu kepada jalan-jalan yang menggalakkan perusahaan dan pembangunan ekonomi
Islam. Hendaklah saudara berjaga-jaga supaya jangan sampai keciciran wang itu
walau sekupang sekalipun ke tangan pihak yang bukan Islam walau dalam apa jua
keadaan sekalipun. Hendaklah saudara jangan memakai melainkan barang-barang
buatan tanah air saudara sendiri.
5.
UNTUK ORANG LAIN
Adil Hendaklah saudara berlaku adil dan benar dalam
menjalankan sesuatu hukum walau apa pun jua perkaranya. Janganlah saudara
lupakan kebaikan orang lain sebab saudara marah; dan sebaliknya pula,
janganlah saudara memejam mata daripada kejahatan-kejahatan mereka itu kerana
saudara menyayanginya. Budi baik orang lain hendaklah dikenang walaupun
ketika dalam keadaan bermusuhan. Hendaklah saudara bercakap benar walaupun
terhadap diri sendiri atau terhadap orang yang paling hampir dengan saudara
sekali pun percakapan yang benar itu pahit dan maung akibatnya.
Komited Hendaklah saudara cergas dan terlatih dalam membuat
perkara-perkara kebajikan am. Kecerdasan ini dapat diukur dengan perasaan
gembira saudara ketika saudara dapat memberi khidmat kepada orang lain untuk
mencapai maksud ini hendaklah saudara menziarahi orang-orang sakit, menolong
orang-orang yang berhajat, menanggung bebanan orang-orang yang lemah dan
melapangkan dada orang-orang yang ditimpa kemalangan atau bencana walaupun
hanya sekadar dengan cakap-cakap yang melegakan hati. Tegasnya, hendaklah
saudara segera melakukan kebajikan walau apa jua pun coraknya.
Belas Kasihan Hendaklah saudara bersifat belas kasihan dan bertolak
ansur. Dalam hal ini hendaklah saudara memaafkan dan mengampun
kesilapan-kesilapan orang lain. Belas kasihan ini bukan sahaja terhadap
sesama manusia akan tetapi juga terhadap makhluk haiwan. Hendaklah saudara
bermuamalah dengan orang lain secara yang baik; sentiasalah berkelakuan baik
terhadap orang ramai dan hendaklah saudara memelihara sopan santun secara
Islam dalam pergaulan sehari-hari--iaitu dengan cara menaruh perasaan belas
kasihan kepada yang kecil dan menghormati yang tua, melapangkan tempat ketika
di dalam mana-mana majlis perhimpunan ramai. Janganlah saudara mengintai atau
mengumpat; jangan menceroboh bahkan hendaklah saudara terlebih dahulu meminta
izin ketika hendak masuk ke sesuatu tempat dan begitu juga ketika hendak
keluar daripada sesuatu tempat.
Hak Hendaklah saudara meminta hak saudara dengan cara
yang baik dan hendaklah menunai hak orang lain dengan sepenuhnya dengan tidak
payah dituntut dan dengan tidak lengah-lengah lagi.
|
No comments:
Post a Comment